Alumni SMANH

Email Staff

Peluang Amal Jariah

Sejarah Penubuhan

Penulis: Jamil Al-Jarumi.

PRA PENUBUHAN MADRASAH NAHDHAH HASANAH
Perhimpunan penduduk pada tahun 1 Sya’ban 1365H bersamaan 30 Jun 1946M, yang diketuai oleh Imam Lebai Salleh bin Haji Abdul Hamid dan Tuan Guru Haji Muhammad Nor bin Syeikh Samah di tapak pekan sehari Padang Sera telah mengambil keputusan untuk menubuh sebuah sekolah agama di kawasan tersebut. Sebuah jawatan kuasa yang diketuai oleh Imam Lebai Salleh dibentuk bagi merealisasikan resolusi tersebut.
 
Setelah beberapa bulan daripada perhimpunan tersebut iaitu pada Oktober 1946M, Tuan Imam Lebai Salleh mengambil inesiatif permulaan dengan meminjamkan bangunan kedai lama yang tidak digunakannya (kira-kira 300 meter dari penempatan sekolah sekarang) untuk dijadikan kelas. Kebetulan pada masa itu seorang bekas tentera Indonesia iaitu Ustaz Ali Boestamam yang berasal daripada Medan Sumatera datang untuk menetap di sini telah diambil oleh beliau untuk mengajar di sini. Jumlah murid yang mendaftar pada ketika itu adalah seramai 18 orang. Pada masa yang sama Tuan Guru Haji Tajuddin bin Abdul Rahman al-Jarumi baru pulang daripada Mekah dan sampai kepengetahuan Imam Lebai Salleh dan beliau bercadang untuk mengambil beliau sebagai Mudir dan Tok Guru di madrasah yang baru dibukanya ini. Kira-kira 3 bulan sekolah beroperasi suatu krisis berlaku di antara Imam Lebai Salleh dengan Ustaz Ali Boestamam menyebabkan beliau disingkirkan dari mengajar di sini. Ustaz Ali Boestamam bersama-sama muridnya berpindah ke Kampung Lama ( kedudukan di antara Pandang Sera menghala ke Kodiang). Manakala sekolah yang baru berusia beberapa bulan itu ditutup.

 

Pondok Melele 1946

 

BERMULANYA MADRASAH NAHDHAH HASANAH

Pada Sya’ban 1366H bersamaan 20 Jun 1947M setelah rumah dan surau siap di bina untuk Tuan Guru Haji Tajuddin Al-Jarumi bersama isterinya Puan Siti Zabedah binti Ismail disambut oleh masyarakat kampung untuk menetap di sini dan seterusnya ditabalkan sebagai mudir yang pertama.
 
Murid-murid pertama yang diterima masuk ke sekolah adalah pada mula-mula penubuhan ialah seramai kira-kira 13 orang yang terdiri daripada anak tempatan. Di antara mereka ialah Abdul Halim bin Imam Lebai Salleh, Ramli bin Toha, Aishah binti Abdul Hamid, Hashim Naim bin Othman, Tom binti Ismail, Yahya bin Jusuh, Intan binti Mat Arif, Bakar bin Ahmad dan lain-lain.
 
Ahli Jawatan kuasa Lembaga Tadbir sekolah yang pertama ditubuhkan pada masa itu ialah terdiri daripada Tuan Imam Lebai Salleh, Tuan Haji Darus Arshad, Cikgu Shaari bin Abu Bakar (Setiausaha Pertama), Cikgu Ismail bin Ahmad, Cikgu Talib bin Din, Haji Othman bin Idris, Haji Jusuh bin Idris (bendahari pertama), Haji Mat Arif bin Jusuh.
 
Guru awal yang dilantik bagi membantu Tuan Guru Haji Tajuddin ialah Ustaz Zainal Abidin dan Ustaz Haji Ahmad. Setelah itu guru-guru sekolah ini di ambil dari kalangan bekas-bekas penuntut sekolah ini. Mereka terdiri daripada Ustaz Nayan, Ustaz Hashim Ishak, Ustaz Kasim Lebai Man, Ustaz Salleh bin Sutan dan Ustaz Hashim Naim.
 
Pada tahun 1368 bersamaan 1949 sekolah ini telah didaftarkan secara rasmi dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah oleh Pendaftar Sekolah-sekolah Agama pada masa itu iaitu Syeikh Mahmud dengan nama Madrasah Nahdhah al-Hasanah atau Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah. Nama sekolah ini diilhamkan oleh kadi Kubang Pasu pada masa itu iaitu Tuan Haji Ahmad bin Yasin. Sekolah kemudiannya terus berkembang dengan pesatnya hingga ke hari ini.